Selasa, 5 Mac 2013

Piala AFC: Kelantan Pertaruh Penggempur Nigeria

Dickson Nwakaeme (kanan) menjadi pemain import terbaharu The Red Warriors.
KOTA BHARU – Penggempur import baharu The Red Warriors, Dickson Nwakaeme mahu menjadikan penampilan pertamanya pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membantu Kelantan menewaskan wakil Maldives, Maziya Sports and Recreation Club di sini, esok.
Bekas penyerang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC itu sebelum ini terlepas untuk beraksi dalam saingan AFC musim lalu bersama pasukan berkenaan.
Nwakaeme berkata, dia sudah bersedia dan berikrar memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut serta membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dan pihak pengurusan terhadap dirinya.
Menurutnya, sepanjang tiga minggu berada di negeri ini dia mengakui semakin serasi dengan persekitaran cuaca serta corak latihan di bawah kendalian Bojan Hodak.
“Ini merupakan penampilan pertama saya dalam saingan AFC. Saya selesa menjalani latihan bersama pasukan dan semuanya memberikan kerjasama yang terbaik.
“Dalam perlawanan ini saya tidak meletakan sasaran peribadi, apa yang penting ialah membantu pasukan meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Sepanjang beraksi bersama Song Lam, pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu berjaya menjaringkan sepuluh gol sepanjang 13 penampilan dengan pasukan berkenaan.
Selain Nwakaeme, Kelantan turut diperkuatkan dengan tiga lagi pemain import dalam saingan Piala AFC iaitu Obinna Nwaneri dan Lek Kecira di posisi pertahanan serta Dimitrios Petrators untuk jentera serangan.
Nwakaeme memberitahu, prestasinya kini berada pada tahap terbaik selepas beraksi bersama The Red Warriors dalam dua aksi persahabatan menentang Semen Padang (Indonesia) dan Felda United baru-baru ini.
“Ketika beraksi dengan Semen Padang dan Felda United saya kepenatan kerana baru sampai ke negara ini selepas mengharungi penerbangan jauh dari Nigeria.
“Untuk penampilan pertama ini saya telah bersedia sepenuhnya dan bertekad mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nwakaeme berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap bersama Petrators pada perlawanan tersebut.
“Saya tak ada masalah dengan Petrators meskipun dia baharu sahaja kembali menyertai pasukan setelah tiga minggu berada di Blackburn Rovers.
“Saya tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya,” katanya.

Sumber : KELATE.NET

Tiada ulasan: